Pulau Mataking

Mataking Island Sabah

Jika daya tarikan utama di pulau lain adalah kekayaan alam semula jadinya, Pulau Mataking pula ada nilai bonus yang tersendiri. Kalau anda nak tahu, di Pulau Mataking ini terdapat Pejabat Pos Dalam Air yang pertama dan satu-satunya di negara ini.

Ianya wujud bukanlah kerana motorsikal ‘mat despatch’ yang tenggelam di dasar lautan, tapi adalah disebabkan kapal kargo kayu lama yang sengaja ditenggelamkan pihak resort untuk mewujudkan kawasan terumbu buatan yang dalam masa yang sama menjadi peti pos bawah air.

Mesti anda tertanya-tanya bagaimana pula surat diposkan di dalam air? Anda boleh meletakkan surat ke dalamnya dengan melindungi surat anda menggunakan beg kalis air. Unik bukan?

Selain itu, pulau ini turut kaya dengan kawasan-kawasan menyelamnya yang dikatakan terdapat lebih daripada 30 buah. Kesemua lokasi menyelam ini kaya dengan hidupan laut  yang dapat dilihat jelas melalui air yang jernih. Sekiranya anda merancang untuk menyelam skuba, waktu yang terbaik adalah dari bulan April hingga Jun.