Pulau Manukan

Pulau Manukan Sabah

Salah satu daripada 5 buah pulau di dalam Taman Marin Tunku Abdul Rahman, Pulau Manukan adalah pulau yang kedua terbesar daripada yang lain. Bukan sahaja mempunyai kawasan yang luas untuk diterokai, tapi juga memiliki fasiliti yang paling sempurna dengan kemudahan seperti padang bola sepak, kolam renang, bekalan elektrik, sistem pembetungan, telefon awam dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja sebab untuk anda melawat pulau ini,  kerana kehebatannya sebagai sebuah tarikan alam semula jadi juga tidak kurang hebatnya. Memiliki pantai yang luas berkepanjangan 1500 meter, airnya juga yang tenang dan cetek dapat dinikmati dengan sepuas hati oleh seisi keluarga tanpa rasa risau.

Di samping itu, pulau ini juga merupakan salah satu lokasi snorkeling yang pasti best dimana anda dapat melihat lintasan ikan Nemo di depan mata pada bila-bila masa.

Aktiviti lain yang ditawarkan di Pulau Manukan adalah banana boat ride, flying fish, jet ski dan sea-walking. Anda juga boleh merancang untuk mendaki bukit menuju ke Sunset Point yang mana anda akan dihidangkan dengan pemandangan memukau Laut China Selatan dan pokok-pokok bakau yang eksotik.