Pulau Mantanani

Terdiri daripada 3 buah pulau iaitu Mantanani Kecil, Linggisan dan Mantanani Besar, gugusan kepulauan Mantanani adalah destinasi menyelam skuba yang cukup terkenal kerana terletak berdekatan dengan 3 kawasan kapal karam yang dapat menggetarkan jiwa sesiapa sahaja yang berjiwa ekstrem untuk meneroka dasar lautnya.

Kapal-kapal yang karam di dasar lautan sekitar kepulauan Mantanani ini adalah kapal-kapal kargo Jepun yang tenggelam pada tahun 1944 ketika waktu Perang Dunia Kedua. Walau bagaimanapun, disebabkan kedalaman kawasan karam ini yang agak mencabar untuk diakses, hanya mereka yang memiliki lesen menyelam dibenarkan untuk meneruskan hasrat ini.

Jangan bersedih, kerana di kawasan yang lebih cetek pula, anda boleh melihat kekayaan hidupan marinnya dengan spesies-spesies fauna laut seperti sotong kurita gelang biru, ikan gobi mata merah jambu, kuda-kuda laut dan bermacam lagi yang mampu membuat mata anda terbuka luas.