Pulau Mabul

Mabul Island Sabah
Sumber: Christian Loader Photography

Pulau Mabul ini boleh dikatakan antara pulau yang terkenal di Sabah kerana kedudukannya yang terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan yang merupakan salah satu kawasan menyelam yang terbaik di dunia.

Tarikan lain di pulau ini adalah pilihan penginapannya yang cukup banyak mengikut kesesuaian bajet anda, dari penginapan dengan kemudahan asas hinggalah kepada penginapan mewah.

Namun begitu, magnet tarikan utama di Pulau Mabul ini sebenarnya adalah kerana ia merupakan salah satu destinasi yang sangat kaya dengan hidupan marin yang penuh dengan warna-warni. Pelbagai jenis ikan dan sotong yang eksotik dapat dilihat melintas di depan mata jika anda  menyelam skuba di sekitar lautan pulau ini.

Apa lagi yang boleh dibuat di sini? Anda boleh memenuhkan aktiviti di sini dengan melawat perkampungan masyarakat Bajau Laut, menikmati pemandangan matahari menaik dan terbenam yang sungguh mengujakan, dan apabila malam menjelma, anda boleh bersantai di tepi pantai sambil menikmati pemandangan cahaya bintang galaksi dari langit sekitar pulau ini. Cukup mengagumkan.