Pulau Bohey Dulang

Pulau Bohey Dulang Sabah

Di dalam bahasa Bajau, Bohey bermaksud ‘air’ dan Dulang pula bermaksud ‘kolam’. Pulau ini mungkin diberi nama berdasarkan kewujudan beberapa buah kolam berbentuk bujur di sepanjang laluan air sungai di pulau ini.

Terletak hanya dalam sekitar 35 minit perjalanan bot dari Semporna, Pulau Bohey Dulang dikatakan menyimpan legenda tersendiri. Al-kisahnya pada suatu ketika dahulu, pulau ini pernah dijadikan tempat seorang puteri cantik bernama Salamia daripada Pulau Bum-Bum disorokkan oleh keluarganya daripada dikahwinkan secara paksa oleh seorang raja dari selatan Filipina. Malangnya, puteri ini hilang beberapa hari kemudian tanpa dapat dikesan.

Ramai yang mengatakan air dari kolam-kolam kecil di Pulau Bohey Dulang ini menjadi tempat minuman Puteri Salamia. Apa yang lebih menarik daripada melawat lokasi yang mempunyai kisah tersendiri?

Bukan sahaja menyimpan kisah yang menarik, Pulau Bohey Dulang turut menjadi tarikan ramai kerana kewujudan kawasan puncak bukitnya yang menyajikan pemandangan yang sungguh menakjubkan keseluruhan pulau.